Selasa, 11 September 2018

Projek Street Barber

Assalamualaikum dan Salam Maal Hijrah

Kali ini cikgu memperkenalkan projek terbaru cikgu iaitu PROJEK STREET BARBER yang telah beroperasi dua tahun lamanya. Cuma kali ini sahaja cikgu boleh mewarwarkannya kerana telah dengan rasminya menukar beberapa pandangan murid cikgu tentang kepentingan mempunyai kerjaya dalam bidang ini. Antara objektif kajian cikgu kali ini ialah mendedahkan murid kepada suasana persekitaran dan suasana kerja yang terdapat di industri dan organisasi di samping memberi peluang kepada murid memperolehi kemahiran pada kesempatan yang seawal mungkin. Selain itu PROJEK STREET BARBER juga memupuk sikap kerja yang baik kepada murid dan menggalakkan mereka berinteraksi di kalangan masyarakat dan memberi peluang kepada murid untuk mengaitkan pelajaran dalam kelas dengan situasi luar.

Oleh kerana cikgu memang serius untuk memperkenalkan projek ini, maka cikgu pun dengan seriusnya menjebakkan diri mendaftar sebagai pembentang di Persidangan Penyelidikan dan Inovasi Pendidikan Kebangsaan 2018 anjuran IPG Temenggung Ibrahim di Johor Bahru. Maka terhasillah sebuah laporan penyelidikan yang lengkap dengan tujuan cikgu mempromosikan lagi kemenjadian anak murid cikgu ke mata orang Malaysia khasnya. 


Tengok nama cikgu bernombor giliran K76

Jadi... nantikan cerita pembentangan cikgu yang akan cikgu bentangkan di kalangan warga pendidik, ahli ilmuwan, ahli pemikir dasar, professor-professor, doktor-doktor dan bakal guru di persidangan itu. Wish me luck u olls.. 




Isnin, 13 Ogos 2018

Guntingan Rambut Berlapis Penuh

Pada bulan Ogos ini, Panitia Dandanan Rambut menganjurkan kursus gunting rambut perempuan. Kursus ini dijalankan oleh Pn Salbiah, seorang pengurus salon yang bertempat di Gelang Patah dan mempunyai beberapa cawangan salun di kawasan Johor Bahru. Beliau menerangkan beberapa kaedah mudah untuk menggunting rambut stail berlapis penuh.
Di sini cikgu nak kongsikan cara untuk menggunting rambut stail berlapis penuh dan gambaran pelukis anak-anak murid cikgu tentang langkah kerja gunting rambut ini.

Guntingan berlapis penuh adalah guntingan rambut bertingkat-tingkat. Biasanya hasil rambut ini akan kelihatan nipis daripada bahagianhujung rambut hingga ke pangkal rambut. Guntingan berlapis penuh akan kelihatan bertingkat di keseluruhan kepala.

Alat :
Gunting rambut
Gunting penipis
Sikat ekor
Sikat menggunting
Kep menggunting

Bahan :
Air

Langkah kerja :

1. Pembahagian rambut akan dibahagikan kepada 5 bahagian. Di bahagian depan akan dibahagikan kepada 3 bahagian iaitu dari bahagian garisan crown area dan 2 pembahagian di belakang dengan bentuk pecahan limau/vertical.

 

2. Ambil sebahagian rambut dari bahagian tengah dan tegakkan pada sudut 90 darjah,
gunting rambut secara melintang untuk membentuk garis panduan.



3. Kemudian ambil sedikit rambut pada bahagian tepi kiri dan tegakkan pada sudut 90 darjah dan guntingkan dengan mengikut kepada garis panduan. Selesaikan dengan menyambung bahagian kanan pula.



4. Setelah selesai menggunting rambut di bahagian kiri dan kanan, ukur rambut bahagian kiri dan kanan agar seimbang.

5. Ambil sedikit rambut di bahagian tengah sebagai panduan untuk menggunting rambut di bahagian belakang.



6. Rambut digunting mengikut pecahan limau/vertival dengan menarik ke atas 90 darjah dari kulit kepala.


7. Gunting rambut di bahagian belakang hingga selesai dan pastikan imbangan kiri dan kanan.


8. Setelah memastikan keseimbangan kiri dan kanan, rambut perlu digunting menggunakan gunting nipis pada bahagian hujung rambut agar rambut nampak rata.


9. Ukur rambut kiri dan kanan supaya seimbang di kedua-dua bahagian.


10. Rambut yang telah digunting perlu ditiup kering dan digayakan mengikut bentuk muka

Kaedah PdPc Explorace menggunakan Kod QR

Quick Response Code atau lebih dikenali sebagai QR Code adalah satu cabang pengetahuan alaf baru yang banyak digunakan dalam berbagai industri. Selain memperkenalkan barang keperluan seharian, penggunaan QR code diperluaskan dalam bidang pendidikan bagi menjadikan pengajaran lebih menarik dan berkesan.

Pemilihan bersesuaian dengan aktiviti koperatif yang digalakkan dalam PAK21. Murid juga membuat pergerakan semasa aktiviti ini dijalankan dan mereka tidak akan mengantuk atau jemu dengan pembelajaran guru. 

Kaedah pelaksanaan :

1. Muat turun aplikasi QR Code generator dari peranti android.

2. Jana kod QR menggunakan aplikasi dengan menggunakan arahan yang disediakan. Dengan QR Code Generator ini anda dapat membuat kod atau gambar barcode dari Text Biasa, URL, SMS, E-Mail, Phone, Wi-Fi dan gambar. Simpan dengan menekan tombol Save as BMP atau PNG.

      Kelebihan menggunakan QR Code dalam explorace :
1. Menjimatkan masa arahan dan tugasan. Tugasan diberi dalam bentuk digital dan memerlukan kebolehan membaca dan menganalisis soalan. Tugasan boleh dihantar dalam bentuk digital juga seperti whatsapp atau telegram atau menghantar tugasan menggunakan frog vle.

2. Menjimatkan tenaga kerja petugas yang menjaga checkpoint. Murid hanya perlu mengimbas QR Code dengan menggunakan telefon bimbit sahaja tanpa perlu melibatkan tenaga kerja yang berlebihan. 

Penerbitan Buku Amalan PAK21 bagi Aliran Kemahiran Dandanan Rambut


Pada 13 Ogos 2018 team Panitia Dandanan Rambut SMPK Vokasional Indahpura telah melancarkan satu buku penerbitan kami yang bertajuk Amalan PAK21 dalam Dandanan Muka - Himpunan Inspirasi guru Muda Aliran Kemahiran Dandanan Rambut. Buku ini adalah kesinambungan daripada PLC yang telah kami jalankan sepanjang tahun ini. Kami merancang hendak menjemput VIP daripada pihak luar untuk merasmikan buku terbitan pertama panitia kami tetapi terbitan kedua dalam bidang kemahiran. Bagi merealisasikan hasrat tersebut, kami telah menjemput En Herryan Syah yang merupakan founder mudahmengajar.com sebagai perasmi pelancaran buku kami. 
Kedatangan perasmi adalah sejajar dengan program kami yang ingin meningkatkan pengetahuan dan kemahiran kami mengendalikan teknologi. Perkembangan teknologi alat bantu mengajar yang pantas menyebabkan kami mengundang seorang pakar teknologi sebagai pencetus kepada semangat kami. 
Pelancaran dimulakan dengan LDP Mudah mengajar oleh En Herryan. Penggunaan Google Keep dan Google Photos dalam menyusun evidens folio murid SKM sangat memberi manfaat. En Herryan juga memperkenalkan chromebook dan google talk untuk menggalakkan murid berkomunikasi dalam bahasa inggeris.Perkongsian selama 2 jam banyak memberi informasi dan menambahkan pengetahuan kami dalam ICT.
Kemudian semua peserta ditayangkan montaj pelancaran buku. En Herryan kemudian menandatangani banner pelancaran dan merasmikan pelancaran dengan sedikit ucapan. Pelancaran yang ringkas tetapi penuh bermakna ini diakhiri dengan sedikit jamuan petang. 






Semoga buku ini menjadi inspirasi guru-guru lain untuk mempunyai penerbitan buku yang bermakna dalam meningkatkan tahap profesionalisme guru-guru khasnya.

Khamis, 7 Jun 2018

Peer Learning Coaching (PLC) Dandanan Rambut


Pada tahun 2018 Panitia Dandanan Rambut sebulat suara bercadang mengadakan Peer Coaching Learning iaitu satu kumpulan untuk membincangkan kaedah pengajaran berdasarkan pembelajaran abad ke 21. Kami bercadang untuk mengadakan perjumpaan sebulan sekali bagi dan perjumpaan berbentuk micro teaching di mana seorang guru akan mengajar di hadapan manakala yang lainnya akan menjadi pelajar. Sebagai guru yang akan membentang pada waktu itu, kaedah mengajar hendaklah diterangkan termasuklah tajuk, penulisan rancangan mengajar, aktiviti yang dijalankan dan cara menggunakan aplikasi/software yang ditunjukkan. Setiap guru mengambil giliran membentang dengan masa yang diberi selama 1 jam. Jadi pada setiap kali perjumpaan, masa 2 jam diperuntukkan dengan dua orang guru yang akan membentang setiap kali perjumpaan. 
Perjumpaan pertama dimulakan dengan tajuk Penggunaan Tarsia dan Penggunaan QR Kod dalam Pdpc. Nampaknya, semua guru berfikiran positif dan menggunakan masa dan peluang yang ada untuk sama-sama memperkenalkan kaedah pdpc mereka bersama rakan sealiran. Semua guru memainkan peranan yang aktif dan bertukar pandangan tentang kaedah yang diperkenalkan. Perkongsian secara aktif berjaya dijalankan.
Pada perjumpaan kedua, kaedah Quizziz, Kahoot dan Flipped Classroom diperkenalkan. Ilmu baru ditambah dengan pemberian gajet telefon bimbit YES Altitude dan Tab Lenovo menyemarakkan lagi semangat guru-guru dandanan rambut untuk menggunakan kaedah ini dalam pdpc. Guru juga berpeluang memperbaiki kemahiran melakukan aktiviti ikal jari secara amali.
Pada perjumpaan ketiga pula, kaedah hot seat dan I see I think I wonder diperkenalkan. Penggunaan kedua-dua kaedah ini boleh menjadikan murid lebih aktif berkomunikasi dalam kelas. Ini terbukti apabila kaedah ini dilakukan semasa PLC ermm... mulut guru-gurunya tak berhenti bertanya.
Pada perjumpaan keempat, Plickers dan Vizia diperkenalkan kepada guru-guru. Kaedah yang jarang diperkatakan ini berjaya membuka mata guru untuk menggunakan di dalam pdpc kerana penggunaan youtube selalu dibuat di dalam kelas. 
Pada perjumpaan terakhir, kaedah TTMB dan kaedah Project Based Learning menggalakkan murid memimpin kumpulan mereka sendiri. Ini adalah kemahiran aras tinggi yang perlu dikuasai kerana melibatkan kemahiran memimpin dan membentang. Kaedah ini boleh digunakan dalam projek-projek besar dan penggunaan masa yang lama.
Setelah PLLC berakhir, setiap laporan PLC didokumentasikan. Kami juga memutuskan untuk mendokumenkan kesemua kaedah-kaedah dan dibukukan dan mungkin buku tersebut boleh dijadikan rujukan kepada guru-guru lain kelak.






Sabtu, 5 Mei 2018

I See I think I wonder


Dalam kelas PLC cikgu hari ini cikgu berpeluang mengenal satu lagi kaedah PdPC yang dinamakan

 'I See I Think I Wonder' 

merupakan satu kaedah yang boleh digunakan dalam kelas kebiasaannya bagi set induksi. Hanya 5-10 minit sahaja sesi ini dijalankan di dalam kelas. Guru akan menunjukkan satu gambar samada menggunakan  slaid atau helaian kertas yang diberi kepada murid di dalam kelas dan murid sendiri bertanyakan soalan kepada guru pengetahuan tentang gambar tersebut. Contohnya di sini guru menunjukkan gambar shampu dan cikgu mencungkil pengetahuan murid tentang shampu yang ditunjukkan. Sekiranya murid telah kehabisan idea memberi soalan guru pula boleh memberikan soalan kepada murid. 


Antara gambar yang boleh ditunjukkan kepada murid bagi mencungkil pengetahuan sedia ada murid

Antara soalan yang boleh diberi kepada murid tentang gambar yang ditunjukkan boleh menggunakan soalan 'WH'


Murid juga boleh menulis di hadapan tentang idea mereka mengenai gambar tersebut. Bagi murid pendengaran cikgu menggalakkan mereka menulis di hadapan mengenai idea mereka bagi memastikan mereka dapat mengeja dengan betul.

Program Terapi Cara Kerja dan Pertuturan

Hari ini cikgu menghadiri satu program terapi cara kerja dan pertuturan yang dianjurkan oleh PPKI SK Indahpura 1 Kulai. Setelah 14 tahun berkhidmat barulah ada peluang menghadiri bengkel sebegini. Peluang ini cikgu gunakan untuk mengorek seberapa banyak ilmu daripada penceramah yang terdiri daripada pakar terapi itu sendiri. Kelas cikgu pulak tahun ni memang ada muridnya yang ada macam-macam masalah. Jadi cikgu nak gunakan kesempatan ini untuk menambahkan ilmu tentang pendidikan khas.rugilah siapa yang tak join kali ni.


Slot pertama menampilkan Pn Siti Jamilah Shamsuddin daripada Unit Pusat Perkhidmatan Pendidikan Khas (3PK). Beliau memberi ceramah berkenaan terapi pertuturan. Beliau menyatakan di Malaysia, hanya terdapat leih kurang 300 orang sahaja pakar terapi pertuturan. Jadi beliau menggalakkan ibubapa yang ada anak-anak yang akan menyambung pelajaran untuk menceburi bidang ini kerana kerja sebagai terapi ini boleh juga secara free lance. Antara tugas pakar terapi adalah untuk memberi intervensi awal dan memberi khimdat runding cara untuk penempatan. 

Tanda-tanda awal kelawatan perkembangan bahasa.

Masalah pertuturan adalah masalah dan gangguan pertuturan yang dihadapi oleh seseorang individu.Antara ciri-ciri individu yang menghadapi masalah ini ialah

  • Bercakap pelat
  • Bercakap gagap
  • Pertuturan kurang jelas
  • Hyperaktif

Ramai ibubapa tidak menyedari anak mereka mengalami gangguan perkembangan bahasa. Masalah ini hanya disedari ketika umur anak sudah mencecah 5-6 tahun. Terapi pertuturan boleh dijalankan sekiranya masalah dikesan sejak awal lagi. Oleh kerana itu, penting untuk berkongsi tanda kelewatan perkembangan bahasa terutama sekali apabila mengunjungi klinik untuk pemeriksaan kesihatan anak. Antara tanda-tanda mengalami masalah bahasa ialah :

  1. Tidak tersenyum apabila diagah
  2. Tidak pernah bubbling
  3. Tidak respon apabila nama dipanggil.
  4. Tidak bercakap langsung atau tidak faham percakapan orang lain.
  5. Masih bercakap pelat ketika umur sudah 2 tahun setengah.
Terapi untuk kanak-kanak pelat ialahdengan meniup belon.

Kemahiran Komunikasi Awal

Adalah penting untuk memperbaiki masalah komunikasi di peringkat awal. Antara yang paling perlu diperbaiki dan boleh diterapkan dalam terapi pertuturan semasa peringkat kanak-kanak lagi ialah

  • kemahiran mendengar
  • pandangan mata
  • tumpuan perhatian
  • ambil giliran
  • meniru
  • pernafasan
  • vokalisasi
  • kemahiran bermain
Semua kemahiran di atas perlu dikuasai dalam terapi pertuturan ini. Antara yang ditekankan di dalam ini ialah hubungan mata. Sekiranya kanak-kanak autisme, kemahiran ini amat lemah untuk mereka kuasai. Oleh itu antara cara untuk menggalakkan hubungan mata ialah dengan cara 
  • meletakkan mainan berhampiran muka
  • sentiasa duduk di hadapan kanak-kanak dan memandang mukanya
  • bermain cak ku cak
  • bermain bola
  • sembunyi barang, tunggu ada pandangan mata barulah barang itu diberi
  • permainan boneka jari
  • menggunakan anak patung semasa bercerita, menyanyi dan berhenti pada sesuatu masa, ada pandangan mata baru sambung semula.
Kemahiran yang paling penting untuk dipelajari ialah kemahiran meniru.Ia melibatkan kerjasama antara 2 orang kerana perlu berkomunikasi.Cara untuk menggalakkan kemahiran meniru pula ialah
  • meniru pattern lego
  • meniru memek muka dan bunyi seperti membuat muka lucu di cermin dan membuat bunyi lucu seperti aah..ooo..tata..
  • meniru cara kanak-kanak bermain
sekiranya kanak-kanak tidak mahu meniru, maka cikgu kena meniru perbuatannya dahulu.

Antara tips yang diberi oleh penceramah menekankan semua respon cikgu atas tingkahlaku dia akan meneguhkan lagi tingkahlaku kanak-kanak itu.

Terapi cara kerja

Penceramah seterusnya ni memang ditunggu-tunggu sebab bidang cikgu kan kemahiran.. jadi banyaklah masalah cara kerja yang memang cikgu tengah cari idea untuk diterapikan. Penceramah ialah Cik Izzati Bt Md Khiri berkelulusan Bachelor of Occupational Theraphy dari University of Newcastle Australia. Sebagai pemegang kelulusan luar negara, banyak juga lah idea beliau yang baru dan fresh untuk cikgu-cikgu yang dah lama ni. 
Beliau menekankan terapi cara kerja dilakukan untuk meningkatkan kefungsian. Kanak-kanak perlu distimulasikan secara holistik dari segi sensory, motor, kognitif dan sosial. 
  • Sensori :keupayaan tubuh menerima input dari persekitaran dan melakukan respon yang betul.
  • Motor : terdiri daripada motor kasar dan motor halus
  • Kognitif : keupayaan daya fikiran memproses maklumat
  • Sosial : keupayaan memahmi kefungsian diri dalam komuniti
Beliau juga menyatakan perbezaan antara masalah tingkahlaku dan sensori. 


Antara terapi yang boleh dilakukan bagi mereka yang mengalami masalah sensori ialah :




wheelbarrow walk

Kemahiran meningkatkan motor halus

Aktiviti yang boleh dilakukan ialah 
  • play dough
  • puzzle
  • vertical paiting & drawing
  • latihan menggunting
  • koyak dan tampal
  • blok kayu/lego
  • dressing dolls
So dalam kepala cikgu dah ada macam-macam idea nak buat di dalam kelas untuk meningkatkan kebolehan pertuturan dan cara kerja murid-murid cikgu. wish me luck korang!





Jumaat, 4 Mei 2018

Hairstylist To Be Production

Hairstylist To Be Production merupakan satu projek yang mengetengahkan murid kurang upaya pendengaran di SMPK Vokasional Indahpura menubuhkan satu kumpulan produksi seakan-akan produksi filem yang merakamkan semua bahan pengajaran yang diajar di kelas. Murid kelas dandanan rambut ini sendiri bertindak sebagai penerbit,pelakon,penulis skrip, penyunting,jurugambar dan pengarah set merakam semua langkah kerja yang dipelajari di dalam kelas untuk dipromosian dalam satu 'channel' youtube yang diberi nama 'Hairstylist To Be'.

Orang kurang upaya pendengaran mempunyai satu kebolehan yang tidak dipunyai oleh orang lain. Kelebihan menggunakan elemen seni dalam sesuatu penciptaan. Bakat seni memang semula jadi dimiliki oleh mereka disesuaikan dengan tangan mereka yang berseniditambah lagi  pelajar mempunyai jaringan yang luas dalam media sosial.Pengetahuan teknologi mereka juga cepat serta sentiasa terkini. Peluang ini digunakan sepenuhnya bagi menjayakan projek ini.
Antara objektif projek ini ialah untuk : 
1. Meningkatkan keyakinan murid dalam melakukan penggayaan rambut.
2.Menjadikan projek ini sebagai sumber rujukan semua pelajar khususnya dan semua
orang di luar sana amnya.
3.Meluaskan penggunaan KTBM sebagai bahasa pengantar rasmi di kalangan pelajar
kurang upaya pendengaran.
4.Memberi peluang yang sama kepada setiap pelajar untuk mengambil bahagian di
dalam semua aktiviti.
5.Mewujudkan budaya inovasi di sekolah bagi memenuhi kriteria pembelajaran PAK21

Beberapa proses utama telah dilakukan untuk menjayakan projek ini. Setiap langkah dicatatkan dalam buku log sebagai langkah pembuatan dan mengenalpasti masalah masalah dalam proses pembuatan tersebut. 

Menetapkan Tujuan dan Objektif
Menetapkan matlamat  menghasilkan bahan video. Menentukan kumpulan sasaran dan bagaimana bahan itu akan digunakan dalam pengajaran

Membuat Penyelidikan dan Menyediakan Bahan
Mengumpul bahan-bahan yang diperlukan seperti maklumat, gambar dan sebagainya yang difikirkan berguna untuk penggambaran.

Menyediakan alat dan bahan penggayaan yang telah ditetapkan

Mencurahkan idea anda secara berurutan dan berstruktur.

Menyediakan bahan-bahan grafik sebelum penggambaran dimulakan supaya tidak mengganggu kelancaran penggambaran.

Menyediakan bahan-bahan grafik sebelum penggambaran dimulakan supaya tidak mengganggu kelancaran penggambaran.

Memastikan bahan dan peralatan bersedia dan berfungsi.

Suntingan dibuat oleh pelajar yang telah dipilih.





 Proses penggambaran menggunakan telefon pintar

Proses suntingan menggunakan aplikasi di dalam telefon pintar.

Antara video yang telah dhasilkan melalui channel youtube "Hairstylist To Be"


jangan lupa subscribe channel Hairstylist To Be 😊😊😊

Selasa, 24 April 2018

Sudut 5S

Apakah itu 5S ?
5S merupakan satu amalan budaya daripada masyarakat Jepun, dengan fokus untuk mewujudkan satu suasana kualiti di sesebuah organisasi yang mampu memastikan standard yang ditetapkan serta menerapkan semangat untuk penambahbaikan berterusan. 5S merupakan singkatan kepada perkataan Jepun iaitu :

1. SEIRI (SISIH)

  • Sebarang halangan keatas laluan mesti dialihkan.
  • Elakkan barangan bercampur - sisihkan.
  • Elakkan kesesakan – susun semula barangan dan elakkan pengumpulan yang tidak perlu.
  • Buat senarai rujukan ~ cepat & mudah.
  • Pastikan status barangan (keutamaan), kurangkan barangan peribadi.
2. SEITON (SUSUN)

  • Konsep FIFO digunakan di tempat yang perlu.
  • Susunan untuk peralatan – perlu ditandakan atau dilabelkan (Nombor rujukan untuk peralatan yang disimpan dalam satu tempat)
  • Peraturan asas “Hanya kaki di atas lantai” ~ sebarang objek yang mudah alih hendaklah ditandakan.
  • Gambarajah pejabat atau susun atur peralatan ~ Susun supaya ruang kelihatan luas, mudah untuk pergerakan dan selesa (Gunakan kreativiti untuk tujuan tersebut)
  • Papan kenyataan ~ Buat susunan yang betul, sempadan, memo dikemas kini (Lebih baik jika ada tarikh tempoh untuk notis tersebut)
  • Poster & bingkai gambar ~ Dicadangkan untuk membuat susunan sama aras atau seragam.
3. SEISO (SAPU)


  • Buktikan ada aktiviti pembersihan pada lantai, dinding, siling, peralatan, papan putih, dll.
  • Pastikan pembersihan juga dibuat di kawasan yang tersorok.
  • Pertimbangkan kesesuaian kawasan kerja yang cukup terang dan faktor persekitaran yang lain.
  • Jika ada jadual pembersihan harian, ia perlu dikemas kini.
  • Tindakan ke atas barangan yang rosak (laporan & status)
4. SEIKETSU (SERAGAM)


  • Kod warna ~ contoh untuk rujukan fail, bekas penyimpan, dll.
  • Pokka -Yoke ~ kaedah pencegahan dari kesilapan.
  • Pengurusan kabel/wayar ~ kabel hendaklah diikat kemas (Tidak boleh tergantung longgar atau di atas lantai tanpa penutup yang sesuai)
  • Penjimatan tenaga ~ Tanda pada suis lampu /penghawa dingin.
  • Papan Tanda amaran BAHAYA, KELUAR dan ALAT PEMADAM API.
  • Sudut 5S ~ Tunjuk serta kemas kini aktiviti yang dijalankan.
  • Person In Charge (PIC): ~ Kaedah / peraturan dalaman dan orang yang bertanggung jawab keatas kawasan tersebut.
5. SHITSUKE (SETIA DIRI/DISIPLIN)

  • Clean as you go (CLAYGO) ~ kemaskan sebelum tinggalkan tempat makan.
  • Pakaian seragam ~ seharusnya bersih & kemas.
  • Pemahaman & komitmen terhadap konsep S5 ~ kerja berpasukan.
  • Peraturan keselamatan ~ seharusnya dipatuhi oleh semua pekerja.
  • Buat amalan 5S-5minit setiap hari.
  • Komunikasi yang baik & etika menjawab panggilan telefon.
  • Tunjuk serta kongsi kisah kejayaan tentang 5S.


Pdpc cikgu kali ini menjurus kepada kandungan pembelajaran menggunakan elemen penyelenggaraan salun rambut. Apa yang paling penting dalam penyelenggaraan ialah susunatur yang kemas yang boleh dicirikan dalam elemen 5S. Jadi untuk projek kali ini, cikgu nak buat satu sudut 5S supaya anak murid cikgu ingat apa yang terkandung dalam 5S tersebut. untuk membuat sudut itu, bahan-bahan yang cikgu perlukan ialah :

1. Papan penutup almari yang dikitar semula
2. Pinggan kertas yang dibeli di kedai eco
3. Cat
4. Berus cat


Pertama sekali cikgu memilih warna hitam sebagai latar belakang projek cikgu. Sebab utama ialah kerana warna hitam senang digabungkan dengan apa-apa warna.Jadi anak murid cikgu kenalah cat papan itu menjadi warna hitam kesemuanya.


















Selepas siap dicat, cikgu nak gabungkan dengan pinggan kertas warna merah. Barulah cikgu dapat idea untuk buat corak bunga-bungaan di taman yang hijau. Ala-ala proses fotosintesis pula.. cuma tiada unsur air. Lepas tu cikgu susun jadi bentuk macam di bawah ni ha.







Dan seterusnya dihiasi dengan matahari yang bertulis 5S. 5S menyinari pokok bunga menjadikan ianya menjadi mekar dan cantik tersusun.




Dan proses yang akhir sekali anak murid cikgu melekatkan perkataan SISIH, SUSUN, SAPU, SERAGAM, SELISIH yang diprint.


FInally.. inilah hasil anak murid cikgu yang cikgu akan letakkan dia di sudut 5S di dalam kelas.







Mobile Spa Retosc Spa kembali lagi!

Salam mobile spa

Pencapaian akademik tidak boleh dijadikan kayu ukur kepada pelajar lepasan sekolah ini untuk mencari pekerjaan, kemahiran yang dipelajari di sekolah memainkan peranan bagi memastikan murid berkeperluan khas di sekolah ini ditempatkan bekerja sesuai dengan kemahiran yang mereka telah pelajari. Sesuai pula dengan penganugerahan sekolah kluster yang telah diterima, menawarkan  peruntukan bagi menambahbaik prasarana sedia ada, sebuah spa bercirikan moden dan serasi dengan bidang yang ditawarkan dibina atas inisiatif untuk mempersiapkan murid berkeperluan khas ke alam kerjaya sebenar. Spa yang diberi nama Reflexology Edu Tourism One Stop Centre atau singkatannya RETOSC SPA diwujudkan adalah sebagai tempat latihan untuk melahirkan pekerja yang berkemahiran dalam bidang refleksologi, dandanan rambut, juruestetik dan bidang operasi pengemasan. Murid akan didedahkan dengan suasana sebenar alam pekerjaan dan berurusan dengan pelanggan sebenar dari kalangan komuniti sekitar. Namun kekangan yang timbul adalah apabila kedudukan spa yang berada di dalam kawasan sekolah, membataskan kehadiran pelanggan daripada luar dan  mengambil kira isu keselamatan murid di sekolah. Di atas isu itu, RETOSC SPA mengambil pendekatan dengan mengadakan perkhidmatan secara bergerak (mobile) bagi memenuhi objektifnya. RETOSC SPA menubuhkan satu unit yang diberi nama Projek Spa Bergerak bagi menjalankan fungsinya secara bergerak daripada perancangan sehinggalah kepada pelaksanaan. Hari ini perkhidmatan mobile spa di Plaza Angsana JB. Selama 4 hari cikgu akan berkampung memberi perkhidmatan refleksologi, manikur, membuat demonstrasi penggayaan rambut, demo ukiran buah dan lipatan napkin.So hari ini cikgu nak bercerita persediaan yang perlu dibuat bagi memastikan program mobile spa retosc ini berjalan lancar. 

Seperti biasa apabila ada perkhidmatan seperti ini, akan adanya kerahan tenaga daripada guru kepada murid. Murid diminta menyediakan semua peralatan yang diperlukan. Murid yang dipilih pula telah biasa dengan perkhidmatan sebegini kerana murid yang dipilih terdiri daripada murid tahun 2 dan tahun 3.

Persediaan kelengkapan
Selalunya apabila tempat telah dikenalpasti semua murid yang terlibat telah bersedia dan tahu apa yang akan diperlukan.


Persiapan tempat
Sesampainya kami di tempat yang disediakan untuk mobile spa ini, kami terus menyusun peralatan yang dibawa. Perbincangan ringkas tentang tempat refleksologi dan manikur diadakan bagi mencapai kata persetujuan. Bagi tempat yang kecil selalunya agak sukar untuk menyusun mengikut keselesaan pelanggan. Namun, tempat yang disediakan haruslah sesuai dan menarik minat pelanggan untuk berkunjung.




Promosi
Murid yang bertugas akan membuat promosi dengan cara mengedarkan pamphlet di sekitar kawasan plaza angsana. Promosi juga dijalankan melalui media sosial guru-guru dan fb rasmi retosc spa.


Pelanggan sasaran

Sasaran pelanggan yang tepat akan menjamin pulangan jualan yang baik dan berterusan. Strategi ringkas diperlukan  untuk berupaya memuaskan hati golongan yang tepat, iaitu mereka yang benar-benar mahukan produk atau perkhidmatan. Harga perkhidmatan juga akan disesuaikan mengikut keadaan sosioekonomi pelanggan. Pelanggan yang terdiri daripada majikan dalam bidang yang sama selalunya diambil berat dan pengeluaran murid yang terbaik ditonjolkan.

Penulisan di atas ialah beberapa faktor yang mempengaruhi kejayaan mobile spa retosc. Di penulisan lain pula nanti cikgu akan kongsikan beberapa faktor lain lagi.

Sekian sahaja untuk kali ini
Salam spa retosc 
#okuinaction #retoscspa #mobilespa #smpkvip




Wira is the best

Kejohanan sukan sekolah dah lama berlalu.tapi sebab kebelakangan ni di wall fb cikgu ramai betul yang update pasal tema sukan jadi cikgu nak kongsi tema sukan sekolah cikgu pula hari ni. Tema kejohanan sukan sekolah cikgu tahun ini ialah STESEN MINYAK. hahaa... puas jugaklah cikgu berbincang dengan semua guru penasihat apakah maksud tema itu. Namun rasa lega juga sebab kejohanan kali ini diadakan di stadium yang bermaksud tiada hiasan khemah. Fuh leganya.

So sebab tiada hiasan khemah, maka kami bertungkus lumus fokus ke arah persiapan penuh fokus untuk perbarisan. Ini termasuklah pakaian maskot. Selain itu semua seluar peserta perbarisan cikgu kumpulkan dan semua guru dan murid rumah sukan diarah menjahit tepi seluar dengan kain merah. Barulah seragam kan..


Untuk perarakan perbarisan pun kena ada props juga. Sebab temanya stesen minyak maka ianya sinonim dengan kenderaan. Oleh kerana itu, rumah cikgu memilih kereta lumba sebagai props kali ini. Ermm... maskot naik kereta lumba???? hehehe nantikan.


Sebab dalam rumah sukan cikgu ni ada pakar menjahit.. jadi cikgu gunakan peluang ini untuk menyuruh cikgu Z menjahit pakaian maskot. Cikgu dapat idea mereka pakaian maskot dengan menggunakan patung yang selalu ada di stesen-stesen minyak yang selalu melambai-lambai kita supaya masuk dalam stesen minyak tu. Tengok tu bila sesi fitting.. memang kerjasama itu penting. Nak bagi murid pakai pakaian maskot tu pun ambil masa. Kejap kepala tak mathing la.kejap lengan sempit pulak.


Selepas proses fitting segala telah selesai.. Taaraaa.. inilah hasilnya. Comel tak maskot CALTEX cikgu.Sampai ke malam tau cikgu selesaikan tang baju maskot ni. 


Dan.. inilah hasil semasa acara perbarisan kejohanan berlangsung di Stadium Taman Putri, Kulai



Happening tak rumah merah cikgu? merah menyala kan?

Apabila keputusan pertandingan keluar.. cikgu la yang paling berdebar-debar.. yeay.. akhirnya johan perbarisan dimenangi oleh rumah WIRA.. senang hati sangat.

Setiap pertandingan memerlukan sifat kerjasama dan semangat berpasukan dan perlu ada tenaga untuk menggerakkan semua cadangan agar semuanya jadi sempurna.



Rabu, 11 April 2018

Ketenangan Alam Semulajadi

Selamat pagi dunia
Selamat pagi dunia pendidikan
Selamat pagi Malaysia

Sebarkan positif
Terapkan keamanan
Jangan marah-marah

Selasa, 10 April 2018

Melentur buluh biar dari rebungnya

Assalamualaikum
Bagi murid berkeperluan khas, pencapaian akademik bukanlah segalanya. Kemenjadian dari segi advokasi dengan persekitaran dan kebolehan bersosialisasi amatlah penting dalam perkembangan kemenjadian murid berkeperluan khas.Jadi bagi membolehkan murid berkeperluan khas ini memenuhi ciri-ciri ini, cikgu menjalankan satu aktiviti yang cikgu namakan 'my attitude'.


Cikgu akan menyenaraikan semua sikap positif anak-anak murid cikgu yang terdiri daripada murid kurang upaya pendengaran. Setiap hari cikgu akan tambah sikap positif setiap hari bagi memberi keyakinan kepada mereka. Sikap negatif pula cikgu akan senaraikan sekiranya mereka ada membiat kesalahan untuk mereka merefleksi diri mereka bagi membentuk peribadi yang baik.